Usah Percaya Bulat-bulat | FIFTH COLLEGE
» ARTICLE » Usah percaya bulat-bulat

Usah percaya bulat-bulat

 

 

 Oleh : Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Pernahkah anda berhadapan situasi produk makanan tambahan yang dibeli langsung tidak menunjukkan kesan positif selepas beberapa bulan diambil? Mungkin ada mengajukan persoalan ini kepada penjual dan pastinya jawapan diberikan berbeza.

Ada pula meminta pembeli merujuk kepada testimoni yang berjaya mendapatkan kesan diinginkan. Dalam hal ini siapa yang perlu dipersalahkan? Adakah penjual atau pembeli?

Menurut Penasihat dan Penyelidik Kesihatan iWelness World PLT Redza Rahman, ada pelbagai isu yang membelenggu pengguna terutama mereka yang mengamalkan makanan tambahan dan menggunakan produk kecantikan.

 

Antara isu yang sering dibangkitkan adalah wajah rosak selepas memakai krim wajah, penyakit sampingan selepas mengamalkan makanan tambahan dan tiada keserasian berbeza dengan testimoni diberikan.

“Dalam hal ini pengguna harus faham ramai ejen dan stokis mengambil kesempatan di atas keperitan orang lain. Sebagai contoh mereka yang berpenyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau kanser tidak mahu mengambil ubat-ubatan disyorkan doktor kerana bimbang kesannya.

“Jadi apabila didatangi penjual produk yang menjanjikan kesembuhan segera mereka sangat teruja untuk mencuba sehingga langsung tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Menyedari kesilapan ini, ujar Redza, dia perlu memperbetulkan salah faham mengenai makanan tambahan. Makanan tambahan dicipta untuk individu sihat sebagai pencegahan awal daripada sebarang penyakit, malangnya mereka yang sudah menghidap penyakit kronik pula begitu ‘mendambakannya’ sehingga sanggup mendapatkan apa saja produk yang dikatakan berkesan menyembuhkan penyakit.

“Dalam hal ini pengguna perlu tahu yang mana satu ubat untuk penyembuhan (kuratif) dan pencegahan (preventif). Bagi individu yang sedang sakit mereka seharusnya mengambil ubat-ubatan bersifat kuratif manakala individu sihat digalakkan mengambil makanan tambahan bersifat preventif,” terangnya.

Masyarakat perlu lebih bijak

Menyeru pengguna agar lebih bijak, Redza menasihatkan mereka supaya banyakkan membaca. Menerusi teknologi telefon pintar apa saja maklumat boleh dicari menggunakan ejen pencarian Google. Mereka boleh mendapatkan informasi mengenai kandungan dan bahan digunakan.

Bagi pengeluar pula mereka tidak seharusnya masih berada di takuk lama iaitu hanya mencari keuntungan dengan mengeluarkan produk ‘timbang kilo’.

“Pentingnya mendapat maklumat daripada mereka yang lebih pakar mengenai bahan digunakan dan menjalankan kajian mengenainya. Pengusaha perlu lebih memikirkan kesihatan orang lain dan tidak berdasarkan keuntungan semata-mata. Percayalah jika tujuan utama ingin memberikan nilai kesihatan kepada pengguna, insya-Allah, Allah menjanjikan kebaikan kepada mereka,” katanya.

Redza juga tidak menolak keinginan masyarakat terutama wanita untuk mempunyai kulit cerah, berbadan langsing dan bertenaga kala mengadakan hubungan intim namun mereka perlu berpegang kepada beberapa perkara sebelum membuat pilihan memiliki produk antaranya:

1. Halal

Pastikan produk pilihan anda mendapat kelulusan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana ia menentukan tahap kualiti mengikut garis panduan ditetapkan. Pastikan ada label halal pada kotak.

2. Memberi manfaat pada tubuh

Percaya produk yang baik bukan hanya menyelesaikan masalah, tetapi juga memberikan manfaat kesihatan. Sebagai contoh jika dulu kebanyakan produk solekan diletakkan di bawah label kosmetik, tetapi kini terdapat kosmetik medik (kosmeseutikal) iaitu memberikan manfaat kedua. Contoh pembayang mata bukan hanya mencantikkan mata, tetapi turut menegangkan kulit dan memberikan kelembapan berpanjangan.

3. Jangan percaya pada testimoni

Ramai keliru mengenai testimoni dan menganggap ia sama dengan bukti berdasarkan kajian saintifik. Testimoni boleh direka manakala bukti saintifik hanya dilakukan di makmal (biasa dilakukan ke atas tikus) atau kajian klinikal ke atas manusia. Namun pengguna harus tahu produk yang berkesan di makmal tidak semestinya berkesan ke atas manusia.

Dengan penekanan menerusi bukti kajian saintifik, sebagai penasihat dan penyelidik, Redza ingin mendidik pengilang dan pengusaha supaya mengeluarkan produk yang mempunyai bukti secara klinikal.

“Apa yang berlaku sekarang kebanyakan produk di pasaran dihasilkan tanpa sebarang kajian makmal atau diuji secara klinikal. Sebab itu apabila berlaku masalah kepada pengguna, pengeluar tidak mahu bertanggungjawab. Ia sangat menyedihkan.

“Bukti secara klinikal juga bertujuan melindungi pengusaha daripada menerima kecaman pengguna kerana mempunyai bukti secara bertulis mengenai keberkesanan produk mereka,” katanya yang turut memberikan panduan produk makanan tambahan mengikut keutamaan iaitu vitamin D dan Omega 3 manakala yang lain terpulang kepada bajet dan keperluan.

Perlu diketahui setiap individu dilahirkan dengan genetik berbeza. Jadi, kesan produk yang diambil juga berbeza antara pengguna walaupun digunakan pada dos yang sama.

“Bagi produk yang mempunyai bukti secara klinikal tahap keberkesanan adalah 90 peratus dan sekiranya tiada kesan positif mungkin berlaku kesilapan dari segi cara penggunaan. Berbeza bagi produk yang tiada bukti secara klinikal, sebagai pengguna anda boleh menyalahkan pengusaha produk itu sekiranya apa yang diharapkan tidak berlaku,” katanya.

 

Sumber : Metro Online

Date of Input: 09/10/2018 | Updated: 09/10/2018 | zurida

MEDIA SHARING

FIFTH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697375
0397697374
C1576122332