JMS 2017- SISWA K5 TABUR BAKTI DI BUMI GARUDA | FIFTH COLLEGE
» NEWS » JMS 2017- SISWA K5 TABUR BAKTI DI BUMI GARUDA

JMS 2017- SISWA K5 TABUR BAKTI DI BUMI GARUDA

PROGRAM JMS 2017: MAHASISWA K5 TIMBA PENGALAMAN DI BUMI GARUDA

 

SERDANG, 9 APRIL 2017. Ibarat kata pepatah lama ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. Justeru, berpegang kepada azam dan komitmen yang tinggi, maka program Jelajah Merentas Samudera: Misi Kesukarelawan Antarabangsa (JMS 2017) dapat disempurnakan dengan jayanya.

 

Program berbentuk khidmat komuniti yang dilaksanakan selama 8 hari bermula dari 1-8 April 2017 ini melibatkan 28 orang mahasiswa/i dari Kelab Generasi Fifth, Sekretariat Kesukarelawan dan Jaringan Komuniti Kolej Kelima, UPM.

 

Program ini telah dilaksanakan di sekitar Selangor melibatkan institusi kebajikan (Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong) dan pendidikan (SMK Cheras Jaya, SMK Sultan Abdul Aziz Shah dan SMK Saujan Impian di Kajang, Selangor).

 

Kemudian program ini diteruskan lagi di Rumah Anak Yatim Raksa Putra dan Kampoeng Wisata Cinangneng yang terletak di daerah Bogor, Jawa Barat, Indonesia.  

 

Menurut Pengarah Program JMS 2017 Saudara Khairul Anwar Surbani, tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk mengukuhkan Kemahiran Insaniah (KI) para peserta bermula dari peringkat perancangan dan pelaksanaan program.

 

Sejajar dengan hasrat UPM agar segala aktiviti dan program yang dilaksanakan berkonsepkan kepada pemindahan ilmu (knowledge transfer) serta pembelajaran berasaskan perkhidmatan (service learning), maka ianya telah diterapkan dan diaplikasikan oleh peserta program ini melalui pengisian aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.

 

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti ‘Dream To Reality’ (slot motivasi dan LDK bersama pelajar sekolah), ‘Siswa Cakna’ (slot khidmat bakti di institusi kebajikan warga emas) dan ‘Semarak Kasih Siswa’ (slot bersama golongan kurang bernasib baik) dan ‘Penghayatan Peninggalan Resam’ (slot menghayati budaya dan adat resam masyarakat desa Bogor, Indonesia).

 

Justeru, program ini dilihat sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna kepada peserta kerana selain dapat memperkukuhkan Kemahiran Insaniah (KI) seperti kemahiran komunikasi, kerja kumpulan, pemikiran kritis dan sebagainya, ianya secara tidak langsung dapat memberikan satu pengalaman baharu dan pendedahan kepada mahasiswa/i dengan masyarakat luar melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran serta penghayatan budaya dan adat resam masyarakat luar.

Updated:: 03/05/2017 [sidek]

MEDIA SHARING

FIFTH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389467373
0389467374
C1506132556