Nostalgia 40 Tahun Kolej Kelima | FIFTH COLLEGE
» ARTICLE » Nostalgia 40 Tahun Kolej Kelima

Nostalgia 40 Tahun Kolej Kelima

Nostalgia Kolej Kelima

Kolej Kelima telah ditubuhkan pada tahun 12 Ogos 1977. Hari ini, Kolej Kelima berdiri megah sebagai sebuah kolej yang cemerlang dan tersergam indah di kampus UPM. Pembangunan yang pesat telah menjana pembangunan infrastruktur yang lengkap bukan sahaja dari segi kemudahan pembangunan akademik, malah prasarana yang disediakan khususnya demi pembangunan sahsiah dan aktiviti pelajar.

Kolej Kediaman Kelima telah dibangunkan kira-kira 40 tahun dahulu di kawasan yang dahulunya merupakan ladang bagi tanaman seperti ubi kayu, betik dan beberapa jenis tanaman tropika yang lain. Sebanyak 4 blok telah dibina dan dinamakan Jelawat, Kelah, Baung dan Kalui. Manakala dewan utama pula dinamakan Dewan Seri Harmoni. Kolej Kediaman Kelima mula beroperasi sebagai kolej kediaman pada 12 Ogos 1977 dengan jumlah penghuni seramai 180 orang siswi.

Pada ketika itu, hanya blok Kelah sahaja didiami. Blok jelawat dan Kalui hanya mula dihuni pada awal semester Julai 1978/79. Manakala Blok Baung merupakan yang paling terakhir dihuni, iaitu pada semester Disember 1978/79. Sesungguhnya Kolej Kelima memerlukan 'sesuatu' untuk terus melayari arus pendidikan yang semakin mencabar ini. Justeru itu, persekitaran bangunan pentadbiran telah diindahkan dengan kerjasama pelajar  Diploma Pertanian Tahun satu sesi 1997, serta bantuan daripada pihak kumpulan ladang (DCP).

Pentadbiran Kolej Kelima pada asalnya berpusat di Blok Kelah, tetapi kemudian berpindah Ke Blok Kalui apabila Blok Kalui mula didiami. Apabila Blok Jelawat mula didiami, sistem pentadbiran mula ditukarkan ke Pejabat Pentadbiran yang tersergam indah sepert sekarang.

Dewan Makan kolej hanya diwujudkan pada lewat tahun 1980 setelah dirasakan perlu, untuk memenuhi kehendak pelajar tetapi mula diswastakan pada semester Julai 1987/88 dan dijadikan Kafeteria. Secara tidak langsung, Kolej Kelima melakar satu lagi sejarah sebagai kolej pertama yang mempunyai sistem Kafeteria. Sejak itu, Kolej Kelima semakin berkembang seiring dengan peredaran masa dengan mempunyai kemudahan-kemudahan seperti Bilik VIP, Bilik Seminar, Bilik Bacaan, Bilik Mesyuarat, Bilik MTM, dan gelanggang-gelanggang sukan seperti futsal, bola tampar, sepak takraw dan badminton.

Makmal Internet mula beroperasi pada sesi 1996/97 sebagai satu lagi kemudahan dan persediaan ke arah Era Teknologi Maklumat. Semester Mei 1999/2000, sekali lagi mengangkat imej kolej dengan terbinanya Dewan Kolegiat yang serba canggih dan lengkap dengan Blik Tetamu, Bilik VIP, selain kaunter pertanyaan, bilik air  dan set sofa.

Keunikan dan keindahan Dewan Kolegiat ini diserikan lagi dengan lampu candeliar. Kemudahan seumpama ini mula diikuti oleh kolej-kolej lain di UPM Selain itu, Kolej Kelima juga menyediakan sebuah bilik Studio Muzik yang lengkap dengan peralatan muzik yang kini terletak bersebelahan dengan Bilik MTM. Kumpulan muzik K5 yang diterkenal iatu The Pick sering mendapat jemputan untuk membuat persembahan terutama di majlis rasmi UPM. Sementara itu, Dewan Makan yang menjadi Kafeteria sebelum ini, telah berubah menjadi Dewan Kuliah, bermula pada semester November 1999/2000.

Bukan hanya sekadar gah dengan pelbagai kemudahan, malah Kolej kelima juga merupakan 'Menara' yang memancarkan sinaran kecemerlangan akademik. Warga Kolej Kelima tidak pernah tercicir daripada senarai_ penerima-penerima anugerah diperingkat Universiti. Kolej Kelima juga tidak ketinggalan dalam mengecapi kejayaan dalam bidang Kokurikulum seperti pertandingan sukan dan pertandingan yang berbentuk ilmiah seperti Forum, Debat, Pantun, Pidato dan sebagainya.

Semenjak awal penubuhannya, Kolej Kelima terus menyumbang bakti dan mencurah keringat dalam melahirkan mahasiswa yang cemerlang dan berkeupayaan memberi sumbangan terhadap pembangunan negara. Setelah menjangkau usia 40 tahun, sewajarnya imbauan kecemerlangan yang lalu, dipaparkan semula untuk tatapan warga kolej dan masyarakat.

Jangkamasa 40 tahun ini, bukanlah satu perjalanan yang singkat. Untuk mencapai semua kejayaan ini banyak usaha dan pengorbanan telah dilakukan oleh pihak pengurusan dan penghuni kolej ini. Banyak juga kejayaan yang telah dicatatkan selain kisah suka duka dan kesukaran yang terpaksa ditempuhi.

Kini di tahun 2017, Kolej Kelima menjangkau 40 tahun. Banyak kemudahan yang telah dipertingkatkan seperti kemudahan harian pelajar di kolej, bilik air dan kemudahan membasuh pakaian yang terbaik, kemudahan kedai serbanika V-Starz, kemudahan makan di Ice Cool,  kemudahan dobi, ruang bilik Majlis Tertinggi Mahasiswa serta bilik bacaan yang selesa untuk pelajar menelaah. Pengurusan Kolej 5 yang berterusan  mengamalkan sikap mesra pelajar dan sanggup turun padang bagi memastikan kecemerlangan akademik di kolej sentiasa berada pada tahap yang cemerlang, disamping pembentukan sahsiah para pelajar.

Bagi Kolej Kelima sendiri, tahun 2017 merupakan tahun keramat yang wajar disambut dengan penuh harapan untuk merakamkan lebih banyak lagi proses transformasi kolej dan pelajar demi melakarkan lebih banyak rekod kegemilangan. Kolej Kelima yakin dengan Falsafah “Kita raikan kepelbagian. Bersama kita mencipta lebih banyak kecemerlangan”.

Updated:: 04/07/2017 [sidek]

MEDIA SHARING

FIFTH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389467373
0389467374
C1505866548